• News & Events
  • My Story
  • PPAUSM PENERAJU BAGI PENUBUHAN MYALUMNI COUNCIL UNTUK NEGARA KAZAKHSTAN

PPAUSM PENERAJU BAGI PENUBUHAN MYALUMNI COUNCIL UNTUK NEGARA KAZAKHSTAN

 

DSCF5905

Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Perhubungan Alumni (PPA) telah berjaya menubuhkan MyAlumni Council bagi negara Kazakstan dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Hilton Garden Inn, Astana, Kazakhstan pada 26 September 2016. Pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Dato’ Hidayat Abdul Hamid, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan. Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Dr. Abu Bakar Mat Diah, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Puan Anushela Muniandy, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Education Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Encik Haikal Hanib, Pengarah Bahagian Perdagangan (Matrade), Puan Norliza Md Zain, Pengarah Tourism Malaysia di Kazakhstan, Dr. Ali Sher, Pengarah, Malaysia Education Center (MEC), Kazakhstan, ahli-ahli Kluster MyAlumni, KPT dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Malaysia di Astana serta kehadiran seramai 50 orang alumni universiti-universiti di Malaysia dari Kazakhstan.

DSCF5882

 

Program sehari ini dimulakan dengan taklimat mengenai Malaysian Global Outreach oleh Kluster MyAlumni. Kluster ini terdiri daripada 12 orang Pengarah/Ketua Pusat Alumni dari Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US). Ini diikuti dengan penerangan mengenai peranan MyAlumni Council yang terdiri daripada alumni universiti-universiti Malaysia di mana sembilan orang telah dipilih untuk menganggotai majlis tersebut. Kesemua alumni juga telah berpeluang untuk beramah mesra dengan para pegawai dari Kedutaan Malaysia, Matrade, Tourism Malaysia, Pengarah MEC di Kazakhstan dan pegawai dari KPT.

DSCF5929

Dalam ucapan pelancaran, Pengarah PPA iaitu Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya telah menjelaskan mengenai penubuhan MyAlumni Council yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang ke-2 (PSPTN 2) iaitu Malaysia’s Global Reach: A New Dimension yang bertujuan untuk membangunkan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa melalui Lonjakan 8: Keunggulan Global iaitu pengukuhan MyAlumni. Dengan ini, diharapkan akan dapat mengukuhkan lagi kehadiran dan jenama Malaysia dalam dunia melalui ‘soft power’. Antara strategi utama ialah dengan memanfaatkan hubungan alumni pelajar demi pengantarabangsaan di seluruh dunia melalui Kluster MyAlumni. Penubuhan MyAlumni Council di Kazakhstan ini ialah yang ke-9 dimana sebelum ini council yang sama telah ditubuhkan di Negara Myanmar, Kemboja, Thailand, Indonesia, Vietnam, China, Turki dan Bosnia Herzegovina.

IMG 6961

Manakala, Y.Bhg. Dato’ Hidayat Abdul Hamid pula menekankan perlunya ditubuhkan MyAlumni Council ini bagi Negara Kazakhstan bagi menjadikan semua alumni sebagai ‘Duta Kecil’ bagi Malaysia dalam membantu mengembangkan lagi pendidikan tinggi di Malaysia melalui peranan MyAlumni seperti membantu mempromosikan pendidikan tinggi di Malaysia, mengadakan jaringan dan kolaborasi antara universiti antara kedua-dua Negara dan memantapkan pangkalan data alumni university Malaysia di Kazakhstan dimana rekod menunjukkan terdapat 1300 orang alumni Malaysia di Kazakhstan. Duta Malaysia ke Kazakhstan juga menawarkan segala kemudahan dan penasihatan melalui pejabat Kedutaan Malaysia bagi membantu aktiviti MyAlumni Council di Kazakhstan.

Para jemputan dan semua alumni yang hadir telah dihidangkan dengan menu yang amat istimewa iaitu nasi lemak yang disediakan oleh staf pejabat Kedutaan Malaysia.

Para delegasi dari Malaysia turut diraikan dalam satu majlis makan malam di Rumah Malaysia, melawat dan berkongsi pengalaman dengan pejabat Alumni di Nazarbayev University, kilang pemproresan makanan halal yang dipunyai oleh seorang tokoh perniagaan melalui usahasama Malaysia-Kazakhstan dan diakhiri dengan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia.

7041

Teks: Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar / Foto: Nur Haziqah Zulkifli.

  Admin Login